Bertugas jauh di kawasan hutan belantara pastinya pelbagai cabaran menanti setiap pengunjungnya. Bermandikan selut, tanah runtuh, banjir besar yang dimulai dengan 'kepala air', jatuh motorsikal dan sebagainya pasti meninggalkan seribu makna dan pengalaman. Pengalaman inilah yang amat mahal harganya kerana bukan semua insan mampu menghadapinya.
Jerit-perit saya dan kawan-kawan yang bertugas di kawasan yang serba kekurangan dan penuh merbahaya tidak semuanya terakam di dalam kamera. Banyak "adegan" yang tidak sempat dirakamkan kerana ianya berlaku secara pantas dan spontan. Namun, pengalaman mengerah keringat menyusuri jalan balak yang becak dan amat licin di sepanjang malam sehingga subuh secara beramai-ramai pastinya amat memeritkan. Merentasi zon "pak belang" dan laluan "orang besar" pastinya akan menyebabkan sesiapa "kecut perut". Sebagai insan biasa, apakan daya saya bersama kawan-kawan.. Hanya berserah kepada-Nya..